Pages

Saturday 1 February 2014

Filem Arahan NAMEWEE Kena BANNED !!!


Salam sejahtera.

Nama saya Namewee. <BANGLASIA> adalah filem arahan saya yang keempat. Filem ini sebenarnya dijadualkan untuk ditayangkan serentak di seluruh negara pada 30 hari bulan January, iaitu menjelang malam Tahun Baru Cina. Tetapi malangnya kami berdepan jalan sukar apabila filem ini dikecam hebat oleh Lembaga Penapisan Filem Negara dan Kementerian Dalam Negeri Malaysia sewaktu proses kelulusan filem. Kami telah diberikan sebanyak 31 catatan rasmi dan sekaligus diarahkan untuk membuat penggambaran semula. Ternyata kami sama sekali tidak mampu untuk melakukan penggambaran semula kerana kesemua 31 catatan yang dikeluarkan oleh Lembaga Penapisan Filem negara adalah 90% dari filem tersebut. Pihak syarikat dan penerbit telah mencuba sedaya upaya dan melakukan apa saja yang terdaya untuk menyelamatkan filem ini namun ternyata usaha kami sia-sia. Dengan ini, kami secara dukacitanya memaklumkan bahawa filem <BANGLASIA> secara rasminya, telah diharamkan. Ini bermakna bahawa filem ini bukan sahaja tidak akan ditayangkan menjelang Tahun Baru Cina, tetapi juga tidak akan ditayangkan di negara Malaysia, buat selama-lamanya.

Pihak berkuasa juga telah mengeluarkan arahan tegas bahawa selain tidak dibenarkan untuk ditayangkan di pawagam, filem <BANGLASIA> juga tidak boleh ditayangkan menerusi laman web YouTube, rangkaian jaringan laman web ataupun dijual di pasaran tidak kira sama ada yang sah di sisi undang-undang, ataupun cetak rompak. Mana-mana pihak yang didapati menayangkan filem ini sama ada di rumah persendirian ataupun kawasan awam, akan diambil tindakan undang-undang. Saya, Namewee ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf kepada semua pihak dengan hati yang pilu dan sedih. 

Yang pertama sekali, para pelabur yang telah mengalami kerugian yang teruk akibat dari pengharaman filem ini, saya memohon maaf kepada semua pelabur-pelabur sekalian yang telah memberikan kepercayaan kepada saya. 

Tidak ketinggalan juga, semua pelakon, tenaga kerja dan krew filem <BANGLASIA> yang telah bertungkus-lumus dalam tempoh satu tahun ini tanpa mengira penat dan letih, saya mengerti pengorbanan anda, maafkan saya!

Akhir sekali, saya ingin memohon maaf kepada semua peminat-peminat yang sedang menantikan kemunculan filem <BANGLASIA>. Saya benar-benar berasa sedih di atas penantian anda yang sia-sia. Percayalah, saya benar-benar telah berusaha keras untuk menyelamatkan filem ini.

Ramai di antara krew produksi yang telah menonton filem ini merasakan bahawa filem <BANGLASIA> adalah hasil karya saya yang paling menarik dan mencuit hati. Secara jujurnya saya bangga dan gembira dengan pujian anda. Terima kasih kepada semua yang menyukai filem <BANGLASIA>. Walaupun tidak berjaya ditayangkan di pawagam, saya berharap anda akan terus menyokong dan menantikan kemunculan filem saya yang seterusnya. Saya akan berusaha lebih keras di masa hadapan untuk tidak mengecewakan sokongan anda. Mohon maaf!

Yang benar, Namewee. 

http://www.youtube.com/watch?v=0agcOFC1u60&feature=c4-overview-vl&list=PLp8YAQVH95dzM8LGQ9fKBPCt9tm1J6V6C
go top google+ page facebook twitter rss